Proven Holdings Bangun Bandar Universiti Di Perlis



 PROVEN Holdings Sdn Bhd akan membangunkan kawasan di Sungai Chuchuh, dekat Padang Besar, Perlis sebagai sebuah bandar universiti.

Projek membabitkan pelaburan kira-kira RM150 juta dikenali sebagai UniCiti Campus itu akan dibangunkan anak syarikatnya, Proven Properties Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Difahamkan, projek di tapak seluas kira-kira lapan hektar berkonsepkan central boulevard itu akan menggunakan kaedah IBS atau Industrialize Bulding Systems, iaitu antara kepakaran Proven yang turut meneroka pasaran pembangunan hartanah bukan saja di Malaysia, tetapi Indonesia dan Arab Saudi.

Ketua Eksekutif Proven Holdings, Datuk Yusof Jusoh, berkata UniCiti Campus bukan sekadar satu projek pembangunan hartanah, tetapi turut menyediakan peluang pelaburan khusus untuk rakyat Perlis, terutama warga UniMAP sendiri.


Dari segi lokasi, katanya UniCiti Campus dianggap strategik kerana berdekatan pusat pengajian UniMAP di Sungai Chuchuh dengan jangkaan pertambahan penduduk universiti di kawasan terbabit sehingga 9,000 orang menjelang 2015 nanti.

“Pada saya UniCiti Campus adalah peluang terbaik untuk menjana pulangan, apatah lagi dengan jaminan UniMAP sebagai penyewa tetap hartanah. Malah, dengan jangkaan pulangan antara enam dan lapan peratus bagi setiap unit pangsapuri dibeli, pelaburan di UniCiti Campus wajar menjadi pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena pra-pelancaran Projek UniCiti Campus di Dewan Kapitol, Kangar. Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin; Pengarah Proven Properties, Zullfakher Mohd Toon dan Pengarah Urusan UniCiti Management Sdn Bhd, Ahmad Zaini Shamsuddin.

Difahamkan, melalui projek itu, 480 unit pangsapuri tiga bilik akan dibina sebagai kampus kediaman UniMAP dengan keluasan 259 meter persegi setiap satu yang dijual pada harga bermula RM168,800 seunit.

Selain itu, ia akan turut mengandungi 83 unit kedai dan pejabat tiga tingkat, selain lapan unit lagi premis sama empat tingkat, dengan kira-kira 50 daripadanya bakal diperuntukkan khusus untuk kegunaan UniMAP. Turut disediakan kiosk serta lain-lain kemudahan.

Sementara itu, Kamarudin berkata pihak universiti bersetuju menyewa lot kediaman di UniCiti Campus untuk dijadikan sebagai kampus kediaman pelajar, khususnya bagi Fakulti Kejuruteraan Teknologi.

“UniMAP kini berdepan ketandusan premis kediaman di Perlis untuk menampung keperluan universiti bagi merealisasikan hasrat 100 pelajar menginap di dalam kampus, apatah lagi dengan jangkaan pelajar mencecah 15,000 menjelang 2015.

“Kita jangkakan, selewat-lewatnya Ogos ini sekurang-kurangnya 2,000 pelajar akan berpindah masuk ke kampus di UniCiti Campus, manakala selebihnya sebaik projek terbabit selesai sepenuhnya sebelum berakhir tahun ini,” katanya.

“Selain pembangunan di UniCiti Campus, UniMAP akan turut menyediakan beberapa prasarana tambahan seperti ruang rekreasi dan sukan di lokasi bertentangannya, yang dijangka akan turut membantu melonjakkan Sungai Chuchuh sebagai sebuah bandar baru universiti,” katanya.

Sumber: Berita Harian





Share your views...

0 Respones to "Proven Holdings Bangun Bandar Universiti Di Perlis"

 

© 2010 media perlis All Rights Reserved Thesis WordPress Theme Converted into Blogger Template by Media Perlis